01. Rumpun Bagai Serai, Selubang Bagai Tebu
Abad ini adalah abad yang paling mencabar buat Tamadun Melayu Serumpun setelah sekian lama terpecah belah, punah ranah dan bertebaran membawa haluan masing-masing kesan daripada penjajahan, untuk kembali bersatu teguh membina kekuatan ekonomi, politik dan sosial (ekoposial) secara bersama; yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, dalam keadaan dunia digodam globalisasi di mana kepercayaan terhadap sempadan-sempadan baik geografi, geo-ekoposial dan budaya sudah tidak dapat diterima. Dunia sedang dipaksa untuk bergerak ke zaman langit terbuka sepenuhnya (Frank Fûredi, 1992: 98), dan segala kebudayaan hidup yang sekian lama membentuk peradaban-peradaban pada setiap bangsa termasuk Tamadun Melayu Serumpun sedang dicabar dan tercabar, ditentang dan terkepung untuk berubah selari dengan perubahan yang meletus dalam globalisasi terutama dalam menyediakan diri menerima kehadiran budaya-budaya baru, yang datang dari segenap penjuru, dan tantangan ini lebih mendahsyat datangnya dari gelombang kekuasaan perusahaan media (Ernesto Laclau, Chantal Mouffe, 1985: 91).
Perusahaan media telah menjangukasakan budaya sebagai komoditi (Adorno, Horkheimer, 1947) dan membentuk perusahaan budaya (Kulturindustrie) yang akan menguasai hampir keseluruhan pasaran ekoposial dunia menjelang Abad 23. Melalui pengaruh media terutama dengan kepesatan pemajuan future media seperti televisyen digital, pawagam (panggung wayang gambar) digital yang bersifat mudah alih dan kepelbagaian gunaan (multifuture purpose digital media) serta pembaruan fungsi internet dengan kemunculan sistem-sistem yang lebih futuristik akan meletakkan beberapa bentuk media seperti televisyen dan filem menjadi lebih dinamik dengan tawaran kedahsyatan persembahan seni melalui saitek (sains dan teknologi) sehingga melampaui kebolehan realiti, dan akan membentuk cara hidup dan budaya penghidupan yang jauh meninggalkan sejarah, tradisi dan peradaban masa lalu (Arjun Appadurai, 1990: 297).
Media is at the very heart of society and business. As the economy inexorably shifts from the tangible to the intangible, media in its many forms is accounting for an ever-increasing proportion of value created. Over the last decade we have seen many new media emerge, many new ways not just to disseminate content in all its forms, but also to interact, invite contribution, build relationships, and engage in conversations. What was a relatively static landscape for many years has exploded into an extraordinary mosaic of elements old and new, juxtaposing reality TV, blogs, search engines, interactive cable TV, location mash-ups, iPods, podcasts, digital TV recorders, personalized adserving, online social networks, free newspapers, satellite radio, photo sharing, and far more. Everyone has a direct interest in how this landscape evolves and mutates, from established media, entertainment, telecoms, and consumer electronics companies, to every business that depends on getting messages to its potential customers, through to individuals, governments, and the emerging multitudes of media creators. All have a strong stake in understanding the future of media, yet the richness and rapidity of developments makes it challenging to perceive the shape and full import of what is being born today (Ross Dawson, 2006: 2).
Manusia pada saat itu telah dibawa ke masadepan, dan media tidak lagi sekadar mencetuskan perang informasi sebaliknya mewujudkan pertempuran perusahaan budaya kerana persaingan pasaran ekoposial pada masa itu adalah sepenuhnya ditentukan oleh perusahaan budaya melalui media, seperti filem dan televisyen (Mike Featherstone, 1990: 76-79). Masyarakat yang tidak bersedia untuk mengukuhkan diri dari sekarang dalam membangunkan kebolehan perusahaan budaya mereka akan tersingkir dari pembentukan dunia masadepan (Wolfgang Bonns, Axel Honneth: 112-115). Maka demikianlah setidaknya kita diberitahu agar Melayu Serumpun kembali mencantumkan diri membentuk kesatuan dan kesepakatan kukuh dalam membangunkan ekoposial kerana dengan kebersatuan yang kukuh sahaja umat Melayu akan tidak terkalah dan terhapus pada zaman pertempuran perusahaan budaya terjadi kerana pada waktu itu Melayu Serumpun telah pun bersedia dengan perusahaan budayanya yang juga hebat, perkasa dan stabil malah menjadi perusahaan budaya yang kuat pengaruhnya dalam persaingan perusahaan budaya dunia.
Horkheimer and Adorno use the term in two different senses:
In the first instance, ‘culture industry’ refers to commodity production as the principle of a specific form of cultural production. ‘Commodity-form culture’ stands in contrast to the bourgeois idea of art as something that is exempt from all practical interest; that is self-contained; that is ‘useless’ for any instrumental purpose; that forms a universe for itself; and that represents ‘l’art pour l’art’, as some writers and artists in the nineteenth century proclaimed.
• Secondly, ‘the culture industry’ denotes a specific branch of production, comprising film studios, recording facilities, CD factories, giant printing machines disgorging daily papers at an unbelievable rate (an image that crops up in countless movies), radio and TV stations with global coverage, and even the Times Square conglomerate of theatres, clubs and stage shows. ‘The culture industry’ makes us think of factories for cultural goods. (Heinz Steinert, 2003: 9)
Pemikiran mementingkan sempadan geo-ekoposial yang bersifat nasionalisme lokal sudah tidak boleh dipakai sebaliknya seluruh umat Melayu hendaklah mempercayai abad-abad masadepan dikawal dan ditentukan oleh geo-ekoposial yang bersifat nasionalisme global, atau yang digelar oleh kita sebagai Melayu Serumpun. Melayu Serumpun adalah dengan sendiri memancarkan pengertian ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ dalam semua aspek khususnya dalam memacu prakarsa-prakarsa mengukuhkan persepakatan dan perkongsian renstra, dasar dan implimentasi, projek pembangunan dan agihan kepentingan agar dengannya akan menguatkan upadaya Melayu Serumpun dalam berdepan dengan persaingan global. Perusahaan budaya akan menjadi kerakap tumbuh di atas batu, hidup enggan mati tak mau sekira hanya bergantung kepada nasionalime lokal kerana maksud Melayu Serumpun itu adalah tamadun seluruh bangsa Melayu yang bertebaran di mana sahaja, dan yang paling besar di antara Malaysia dan Indonesia. Wajarlah mulai hari ini pemikiran nasionalisme global dibentuk dalam setiap renstra pembangunan ekoposial bangsa Melayu seperti yang diperlukan dalam menjayakan perusahaan budaya kerana pasaran perusahaan budaya Melayu itu akan lebih meluas dan berkembang di peringkat serumpun berbanding lokal sekali gus akan membentuk pengaruh yang lebih kukuh dan kuat dalam berdepan dengan persaingan sejagat.
Baik di Kuala Lumpur mahupun di Jakarta, di Kota Melaka maupun di Pekan Baru, Riau yang pasti masyarakat sedang berubah, di mana pusat-pusat peradaban dan kebudayaan bukan lagi di pusat-pusat latihan dan institusi pengajian, atau di panggung-panggung seni tetapi di kompleks beli belah, di kelab-kelab sosial, hatta di kafe semasa meneguk secawan cappuchino di mana berbagai barang, dari makanan hinggalah ke gajet-gajet, dan sudah tentu produk budaya seperti poster, cakera padat CD maupun DVD, MP3 seperti iPod, dan filem-filem nyata mendominasi bahkan nyaris menghapus adanya karya lokal. Produk budaya lokal tidak mampu bersaing dengan produk budaya asing yang datang dari pelbagai negara kecuali perusahaan budaya lokal itu dikembangkan menjadi lebih besar (Douglas Kellner, 1998: 67-69), dan sudah tentu untungnya produk perusahaan budaya masyarakat Melayu kerana telah pun mempunyai lingkungan budaya serumpun yang kukuh cuma perlu menyelesaikan krisis dan konflik kepentingan ekoposial nasionalisme lokal sahaja. Permintaan terhadap produk budaya oleh industri media begitu mendadak dengan anggaran sebanyak 2.6 juta kandungan produk budaya diperlukan bagi tahun 2006 hingga 2009, dan akan meningkat sebanyak 60 peratus selepas 2009, dengan perkembangan perusahaan budaya sedunia mencecah ke tahap 70 peratus dari seluruh keperluan pasaran ekonomi dunia (The Benton Foundation, 1998: 10-16). Menjelang pertengahan tahun 2010 dianggarkan hampir 30 bilion perolehan jual beli produk media di Amerika Syarikat, Eropah, dan sekitar 19 bilion menjelang 2012 di China, Jepun dan Korea manakala di rantau Asia Tenggara akan mencapai pendapatan mencecah 9.76 bilion dalam tahun yang sama (Global Entertainment and Media Outlook, 2005-2009, 2005: 79-190). Peningkatan mendadak ini hasil daripada perkembangan pesat industri televisyen dan filem digital sekali gus menggaris bawahi perlunya bagi perusahaan budaya di Malaysia dan Indonesia berubah dari sikap nasionalisme lokal kepada menjayakan gerakan mengadiluhung persepakatan dan perkongsian perusahaan budaya agar dengan cara itu akan mengembangkan lagi potensi pasaran produk budaya di dalam lingkaran geo-ekoposial Melayu Serumpun.
In our drafts we spoke of “mass culture”. We replaced that expression with “culture industry” in order to exclude from the outset the interpretation agreeable to its advocates: that it is a matter of something like a culture that arises spontaneously from the masses themselves, the contemporary form of popular art. From the latter the culture industry must be distinguished in the extreme. (Adorno, 1991: 85)
Komparatif - potensi hasil persepakatan dalam perusahaan budaya, misalnya di antara Riau dan Melaka sudah pun cukup untuk membuka peluang pekerjaan kepada hampir 20 ribu orang, dan mengikut kajian MANGGIS (Permuafakatan Gerakan Generasi Baru Malaysia) yang dibuat pada tahun 2006 mendapati sekira terjadi perkongsian itu membolehkan pengluasan pasaran media budaya ke tahap 60 peratus dengan anggaran perolehan sebanyak RM1.6 bilion, dan akan mengembangkan potensi-potensi kependidikan perusahaan budaya di kedua-dua negara ke tahap paling tinggi dengan kadar graduan dalam bidang perfileman, penyiaran, media digital, kreatif dan artistik, serta komunikasi bandingan budaya meningkat 300 peratus, dan akan melahirkan pemacu-pemacu baru industri hiburan seperti penyanyi, pelakon, sutradara, penata muzik, penata suntingan, penata sinematografi, penerbit serta pengurus produksi berpengetahuan tinggi dan berkelulusan tinggi sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Mahsul dari gerakan persepakatan dan perkongsian perusahaan budaya ini akan turut mengembangkan pengaruh budaya lokal ke dalam masyarakat dan mengukuhkan kebudayaan Melayu Serumpun melalui produk-produk budaya yang dipasarkan ke dalam industri media. MANGGIS juga dalam kajiannya mendapati sekira terbentuk kerjasama kukuh di antara Melayu Serumpun di dalam perusahaan budaya maka potensi perkembangan perusahaan filem akan meningkat hampir 60 peratus dengan anggaran jumlah kutipan setahun adalah melebihi RM170 juta. Krisis-krisis yang muncul akibat perpecahan geo-ekoposial dan budaya Melayu Serumpun akan dapat diselesaikan sekali gus akan membentuk Tamadun Melayu Serumpun yang lebih kuat, kukuh dan berkembang seiring dengan perkembangan pengaruh Amerika dan Eropah, juga Jepun, India dan China. Wajarlah untuk Melayu Serumpun memberi perhatian serius terhadap keperluan untuk membentuk dan membina perpaduan dalam menguruskan perusahaan budaya melalui menyatupadukan bentuk renstra, dasar dan implimentasi pembangunan, serta pengukuhan kependidikan budaya dalam menjamin perusahaan budaya Melayu Serumpun dapat bersaing dengan imperialisasi budaya dari luar.
Nota: Rencana Ini Telah Diterbitkan
Sebarang Salinan Semula Tanpa Izin Akan Didakwa.